Sunday 15 August 2010

Pendidikan Seksualiti Di Kalangan Kanak-kanak

Pendidikan Seksualiti ini penting bagi membolehkan kanak-kanak lebih memahami dan menghormati orang lain apabila memasuki dunia remaja kelak. Pendidikan Seksualiti sememangnya wujud tetapi masih berlapis atau tersorok seperti mata pelajaran sains dan biologi. Selain itu, pendidikan ini turut membincangkan keselamatan diri seseorang kanak-kanak. Andainya kemusykilan kanak-kanak tidak terjawab oleh ibu bapanya maka dia akan mencarinya melalui saluran yang salah.

Kriteria penting pendidikan Seksualiti kanak-kanak adalah pertama mereka sepatutnya mengetahui tentang jantina seawal umur mereka menjangkau 4 tahun. Kanak-kanak perlu diberitahu dengan jelas jantina mereka menerusi pakaian, permainan, rakan bermain dan sebagainya.

Kriteria kedua adalah ibu bapa perlu melengkapkan diri dengan maklumat supaya dapat menjawab segala persoalan dengan baik dan memuaskan hati anak. Jangan menipu dan menyorokkan kebenaran. Ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak mengenali alat jantinanya, mengapa ia perlu ditutup dan kenapa orang lain ditegah untuk menyentuh atau melihatnya tanpa kebenaran.
Ibu bapa boleh menggunakan pelbagai cara untuk memperkenalkan isu ini kepada anak. Antaranya menggunakan anak patung dan lakonkan adegan seperti patung lelaki cuba menarik skirt patung perempuan. Tegaskan perkataan JANGAN apabila orang lain ingin menceroboh hak perbadi mereka. Walaupun cara ini nampak remeh tetapi ia mudah difahami kerana membabitkan permainan yang digemari oleh kanak-kanak serta mudah diterangkan kerana patung mempunyai fizikal seperti manusia.
Justeru, dalam zaman serba maju dan moden, pendidikan seksualiti ini penting kerana membabitkan kesejahteraan hidup masyarakat. Namun, ibu bapa patut berhati-hati semasa memperkenalkan pendidikan seksualiti kepada kanak-kanak. Pastikan mereka bersedia sebelum mereka menjejakkan kaki ke sekolah rendah.
SELAMAT MENCUBA!